Setiausaha Agung NUTP, Harry Tan Huat Hock berkata, pembantu guru serta pembantu tadbir sambilan harian di negeri Melaka dan Kedah yang dikenali sebagai PT Rintis terbabit wajar diserapkan kerana peranannya terbukti berkesan dalam mengurangkan beban guru.

Beliau memberitahu, berikutan tiada kata putus berhubung penyambungan kontrak, golongan berkenaan kini berhadapan dengan masalah pengangguran.

"Mereka ini bukannya guru, lebih mudah mereka ini bekerja seperti kerani dan antara tugas yang dilakukan ialah mengambil laporan salah laku murid atau disiplin, memasukkan maklumat dalam sistem serta membantu di perpustakaan.

"Selain itu mereka ini turut mendapat latihan dari masa ke semasa seiring dengan peredaran masa. Untuk rekod kesemua pembantu tadbir ini sudah enam tahun berkhidmat selepas jawatan itu diwujudkan pada tahun 2012," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebelum menyerahkan memorandum kepada wakil Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail di Bangunan Perdana Putra, di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE