Setiausaha Agungnya, Harry Tan berkata, sebagai seorang yang berpengalaman Ahmad Tajuddin sewajarnya berhujah dan bukannya menghentam dengan menggunakan aplikasi WhatsApp.

“Kini NUTP bersama menteri secara profesional sedang membantu Kementerian Pendidikan dalam menyelesaikan isu Kolej Vokasional demi masa depan pelajar dan membawa Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke arah yang diiktiraf.

“Namun begitu, masih ada dalam kalangan bekas pegawai tinggi kementerian yang campur tangan demi menegakkan usahanya dahulu yang kini telah menyukarkan sistem Kolej Vokasional sehingga berlarutan selama tujuh tahun,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Ahmad Tajuddin baru-baru ini didakwa Maszlee telah merosakkan Kolej Vokasional serta menyebabkan pengambilan pelajar dan semua program Kolej Vokasional yang belum mendapat akreditasi dihentikan.

Harry berkata, walau bagaimanapun, NUTP akan terus mendesak Menteri Pendidikan untuk meneruskan usaha bagi menyelamatkan pelajar dan guru Kolej Vokasional daripada menjadi mangsa keadaan. - UTUSAN ONLINE