Kena akuilah itu kesilapan besar mereka. Kalau waktu mereka berdegil tempoh hari, datanglah sesiapa sahaja memujuk atau merayu mereka, hatta saudara mara ipar duai dan Perdana Menteri sekali pun, pasti penduduk flat empat tingkat ini tidak akan tunduk.

Hanya Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar sahajalah waktu itu ‘harapan’ dan ‘cermin’ mereka.

Tapi syukurlah sebahagian besar penduduk flat terbabit tidak terikut-ikut dengan lagak langkah kecundang itu.

Majoriti yang cerdik ini faham ‘keampuhan’ taktik putar belit pembangkang semasa kempen pilihan raya umum ke-13 tempoh hari.

Ya, bagaimana Nurul Izzah waktu itu begitu licik memanipulasi kea­daan dengan membuat kenyataan fitnah dan palsu berhubung pembelian tanah membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. Ini dilakukan dalam sidang akhbar di Bangunan Bakti, Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur iaitu sehari sebelum PRU-13 pada 5 Mei.

Penerbitan kenyataan itu dalam Malaysiakini pada 4 Mei 2013 meng­akibatkan reputasi dan maruah Nong Chik sebagai ahli politik, bekas menteri dan senator terjejas teruk. Setahun tiga bulan kemudian, Nurul Izzah mengemukakan kenyataan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 21 Ogos 2014 dengan menyuarakan kekesalan mengeluarkan kenya­taan itu dan berjanji untuk tidak akan meng­ulanginya.

Tetapi malangnya pada hari berkenaan, imej Raja Nong Chik sudah tercemar. Putar belit dan fitnah oleh Nurul Izzah itu ‘melekat’ bagaikan gam dalam fikiran. Akhirnya dikatakan peti-peti undi Taman Seri Sentosa dan Taman Bukit Angkasa tidak memihak kepada Raja Nong Chik. Damage has been done.

Begitu juga bagaimana Nurul Izzah dikatakan cuba meraih perhatian di tengah-tengah Sidang Kemuncak ASEAN ke-27 dengan bertemu Jacel Kiram, anak pengganas Sulu di Manila.

Seakan-akan dia tidak mampu menghayati peristiwa sedih me­nimpa anggota keselamatan yang mengekang pencerobohan gerombolan pengganas diketuai bapa Jacel di Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac 2013.

Sedangkan ada anggota keselamatan yang ditawan, telah dirodok perutnya menggunakan parang Sulu atau barong sebelum dadanya dibelah dan dikeluarkan segala organ dalaman.

Ada juga yang maut kerana kedua biji mata mereka dicungkil menggunakan senjata tajam.

Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan mempersoalkan tiada secoret pun simpati daripada Nurul Izzah kepada 35 keluarga di Kampung Ke­rinchi terbabit - yang terkesan hasil perbuatannya itu.