Bahkan, gadis berusia 19 tahun yang kini mahu dikenali dengan nama Nur Nina Farisha menyifatkan, keputusan memeluk Islam yang dibuatnya itu merupakan titik permulaan buat dia melalui kehidupan baharu.

Menurut Nur Nina, keputusan­nya untuk menukar pegangan agama juga dibuat dengan penuh kerelaaan dan di atas kesedaran sendiri.

“Selepas mengucap (kalimah syahadah), saya menghubungi keluarga di rumah dan mereka menerima keputusan saya. Ayah saya berketurunan Cina dan ibu pula berasal dari Filipina,” kata anak tunggal kepada pasangan yang menetap di Johor itu kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Nur Nina yang juga penuntut semester tiga Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pelantar Minyak Kolej RANACO di sini berkata, dia nekad mengucap dua kalimah syahadah selepas berpuas hati dengan jawapan Dr. Zakir pada sesi soal jawab semasa syarahan umum pendakwah itu.

Semasa sesi soal jawab bersama Dr. Zakir, gadis berkenaan bertanya pada pendakwah itu apakah dia dikira tidak menghormati Islam hanya kerana membaca surah al-Fatihah, tiga Qul dan ayat Kursi.

Dalam menjawab soalan Nur Nina itu, Dr. Zakir kemudian bertanya pada gadis itu sama ada dia percaya kepada satu Tuhan dan kerasulan Nabi Muhammad yang akhirnya dijawab “ya”.

Nur Nina kemudiannya mengucap dua kalimah syahadah dibim­bing oleh Dr. Zakir di hadapan kira-kira 40,000 orang yang mendengar syarahan umum itu.

Selepas berakhirnya ceramah bertajuk Pilihan Orang Islam, Dakwah Atau Kemusnahan, Zakir dan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang turut hadir bersama isteri, Toh Puan Halina Zakaria menemui Nina di sebuah bilik di belakang pentas.

Sebetulnya, kata Nur Nina, keinginan memeluk agama Islam sudah lama tercetus dalam dirinya dan jawapan Dr. Zakir pada malam itu membuatkan dia lebih yakin de­ngan Islam sebagai agama yang suci untuk dijadikan panduan hidupnya.

Dalam masa sama, Nur Nina tidak menafikan, pergaulannya dengan rakan-rakan beragama Islam selama ini turut menyumbang pada keinginannya untuk mendekati Islam

“Kebetulan Dr. Zakir berkunjung ke negeri ini dan saya tergerak untuk hadir mendengar syarahannya di samping bertanyakan soalan,” ujar Nur Nina lagi.

Kata Nur Nina, aturan Allah juga telah membuatkan dia membulatkan tekad untuk memeluk Islam di hadapan ribuan khalayak selain yakin bahawa detik berkenaan merupakan masa terbaik untuk dia memutuskan pendirian.

“Saya tak kisah dengan pandangan orang lain. Saya rasa lebih tenang, tanpa sebarang rasa tertekan dan mula bersolat hari ini,” kata Nur Nina yang turut memilih untuk menutup auratnya.

Janji Nur Nina, dia akan mula mendalami agama Islam dan mengikuti kelas pengajian al-Quran bagi membolehkannya menunaikan ibadat yang dituntut selain belajar untuk melengkapkan diri menjadi seorang muslimah yang baik.