Demikian kata ibu Nur Aisyah Hasmizan, bayi malang berusia 17 bulan yang dipercayai diculik seorang lelaki warga Nepal di Kampung Parit Lanjut, Sungai Terap di sini semalam.

Siti Noorfadila Yusofe, 30, berkata, hanya muka dan badan anak bongsunya itu yang masih teruk kerana bernanah, dipercayai akibat digigit serangga.

Namun keluarganya bersyu­kur apabila pemeriksaan imbasan sinar-X terhadap Nur Aisyah tidak menemukan kesan seperti dipukul dan sebagainya.

“Alhamdulillah dia kembali kepada saya dalam keadaan ber­nyawa walaupun begini rupa (digigit serangga). Saya sangat ber­syukur dapat berjumpanya semula.

“Bibir serta sekitar mulut dan mata Nur Aisyah bernanah, begitu juga lehernya tapi saya bersyukur doktor beri­tahu dia stabil,” katanya di sini hari ini.

Dalam kejadian antara pukul 3 hingga 5 pagi semalam, Nur Aisyah disedari hilang ketika keluarganya bangun bersahur di rumah mereka.

Walau bagaimanapun, bayi tersebut ditemukan semula hanya satu kilometer dari rumah pada pukul 3.45 petang susulan penahanan seorang suspek di sebuah rumah kongsi di daerah ini.

Siti Noorfadila turut berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan keselamatan Nur Aisyah sehingga anaknya itu berjaya ditemukan semula dalam kea­daan selamat, namun kesal dengan pelbagai tohmahan dilemparkan termasuk dituduh sebagai dalang di sebalik kejadian tersebut.

“Saya dan suami suspek utama? Hanya Tuhan tahu betapa sa­yangnya kami kepada anak-anak. Jika bukan anak saya pun, saya akan menangis kerana melibatkan kanak-kanak.

“Kami bukannya pendera ka­nak-kanak. Saya pun tak pinta kejadian seperti ini berlaku kerana anak-anak nyawa saya dan janganlah hukum sembarangan,” kata ibu kepada empat cahaya mata itu.