Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak-anak Kabin Malaysia (NUFAM), Ismail Nasaruddin berkata, kedua-dua syarikat tersebut harus menyelesaikan masalah dalaman termasuk menyusun semula kewangannya terlebih dahulu sebelum bertindak membuat keputusan drastik itu.

Katanya, langkah membuang pekerja sehingga 6,000 orang itu dilihat tidak adil kerana ramai dalam kalangan mereka telah berkhidmat selama beberapa dekad dengan syarikat penerbangan itu.

“Difahamkan MAS akan mengeluarkan surat pemberhentian kerja dengan notis tiga bulan kepada pekerjanya pada Jun ini. Justeru, kami membantah sebarang tindakan untuk memecat pekerja ber­kenaan. NUFAM juga akan adakan piket sekiranya MAS dan Khazanah tidak memanggil kami berbincang tentang isu penstrukturan semula syarikat itu. Setakat ini, mereka belum berunding untuk adakan perbincangan termasuk proses pemberhentian pekerja ini.

“Kami bukannya berhasrat untuk piket atau mogok, cuma mahu perundingan secara terbuka supaya apa-apa proses yang dilakukan oleh MAS dan Khazanah akan dijalankan secara telus dan harmoni,” katanya dalam sidang akhbar berkaitan masa depan kira-kira 6,000 pekerja MAS yang masih tidak menentu di sini hari ini.

Pada Ogos 2014, Khazanah meng­umumkan 12 langkah bagi menjaya­kan pelan penstrukturan semula MAS bernilai RM6 bilion yang antara lain menubuhkan entiti baharu dikenali sebagai Malaysia Airlines Berhad (MAS NewCo) dan menyaksikan 6,000 pekerja daripada pelbagai pe­ringkat diberhentikan.

Khazanah juga dilaporkan akan menubuhkan pusat khas bagi memberi sokongan penempatan kepada kira-kira 6,000 kakitangan MAS yang akan diberhentikan berikutan proses penstrukturan semula itu.

Dalam pada itu, Ismail berkata, kedua-dua syarikat itu harus mengikut prosedur yang betul dalam menamatkan perkhidmatan pekerja mereka seperti melalui Skim Pemberhentian Sukarela (VSS).

Selain itu menurut beliau, ke­dudukan kewangan MAS perlu diteliti secara menyeluruh bagi mencari penyelesaian terbaik bagi semua pihak.