ROHANI ABDUL KARIM
ROHANI ABDUL KARIM

Sambutan tersebut merupakan antara satu inisiatif di bawah gerakan 1Malaysia Family First selaku agenda negara untuk me­ngajak masyarakat kembali kepada nilai kekeluargaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, institusi kekeluargaan merupakan antara satu komponen sosial yang amat penting dalam membentuk ke­sejahteraan tanah air.

Katanya, institusi kekeluargaan yang berdiri kukuh dapat mewujudkan keharmonian dalam kehidupan masyarakat kerana mempunyai ‘pasak bertapak kuat’ bermula di rumah.

“Sehubungan itu, BKK1M anjuran kementerian dan Lem­baga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) merupakan usaha berterusan kerajaan dalam menyemai semangat cintakan keluarga.

“Sambutan ini merupakan anjakan semangat kekeluargaan, ma­nakala kesinambungannya pula adalah di rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Rohani, sambutan BKK1M 2017 akan berlangsung di Taman Metropolitan Kepong pada 4 November ini yang mengete­ngahkan pelbagai aktivi­ti menarik.

Katanya, sambutan yang bertemakan ‘Saya Sayang Keluarga Saya’ itu diisi dengan pelbagai aktivi­ti antaranya Family Walk, Fa­mily Picnic, Creative Family, Eco Family, Sukaneka Keluarga dan Pertunjukan Layang-Layang.

“LPPKN dengan kerjasama Rangkaian Hotel Seri Malaysia turut mengadakan pertandingan foto keluarga dan menawarkan baucar penginapan.

“Caranya mudah sahaja iaitu orang ramai hanya perlu memuat naik gambar keluarga ke Facebook LPPKN dan Hotel Seri Malaysia serta meletakkan subtema #LPPKNkeluargasaya. Pengumuman akan dibuat pada 4 November ini,” katanya.

Menurut Rohani, penggunaan internet berlebihan merupakan antara punca hubungan kekeluargaan semakin jauh ekoran terlalu leka melayari gajet sepanjang masa.

Paling mendukacitakan, kata­nya, laporan Indeks Kesejahteraan Keluarga (IKK) 2016 menunjukkan indikator kawalan terhadap penggunaan teknologi komunikasi agak rendah iaitu 5.28 daripada skala 10.

“Skala ini menunjukkan ku­rangnya kawalan gajet sekali gus menjadi punca kerengangan talian kekeluargaan,” jelasnya.

Justeru itu, katanya, kempen ‘No Gadjet Hour’ menjadi agenda utama sambutan BKK1M 2017 iaitu setiap keluarga digalakkan melupakan penggunaan gajet semasa sambutan berlangsung.

“Kita menyediakan satu kotak khas, di mana setiap keluarga perlu meletakkan gajet masing-masing dalam kotak tersebut.

“Ini bertujuan memberi ruang kepada setiap ahli keluarga untuk berinteraksi sesama keluarga. Jangan merosakkan mood dengan leka menggunakan gajet sepanjang masa,” katanya.

Mengakhiri temuramah, Rohani berharap BKK1M 2017 dapat menjadi pencetus kepada perubahan institusi kekeluargaan yang kini kian rapuh akibat cabaran era teknologi serba canggih.

Beliau bagaimanapun tidak menolak teknologi terkini mampu menjadi penghubung silaturahim dalam kalangan keluarga, jika tidak disalahgunakan sehingga memakan diri.

“Tidak salah guna gajet, tetapi biarlah berpada-pada. Ini sampai ke meja makan pun bawa gajet sama ada ibu bapa atau anak-anak.

“Jadikan masa bersama keluarga untuk keluarga sahaja, jangan rosakkan nilai ini dengan sibuk bergajet.

“Diharapkan nilai-nilai positif menerusi BKK1M yang dikete­ngahkan ini dapat menerapkan pegangan dan menjadi panduan ikatan kekeluargaan kepada pe­ngunjung,” katanya.