Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal itu menghidap penyakit kencing manis dan buah pinggang kronik dan jenazahnya dikebumikan di kampung kelahirannya di Manir hari ini.

Allahyarham, bapa kepada 16 orang anak, mula hilang penglihatan sejak lima tahun lalu, namun keinginannya untuk terus berkarya tidak pernah padam.

Allahyarham telah menghasilkan 23 buah novel dan antologi drama pentas selain turut berkarya dalam genre cerpen dan puisi manakala dua lagi dalam proses penerbitan termasuk terjemahan novel terbaharunya, Orang-Orang Perang ke dalam bahasa Cina.

Salah seorang rakan karibnya, Ariffin Embong, 62, menceritakan Allahyarham sentiasa berhasrat untuk melahirkan novel walaupun dalam keadaan terlantar.

“Saya cadangkan anak-anak membantunya menulis ketika keinginannya membuak-buak namun katanya tidak mahu menyusahkan mereka.

“Selain itu Allahyarham juga tidak sempat untuk melihatkan antologi eseinya, Dunia Dalam Penglihatan Kita diterbitkan,” ujarnya.

Ariffin yang juga bekas Pengarah Pendidikan negeri berkata, walaupun menempa nama yang besar, Allahyarham lebih banyak mengasingkan diri daripada kegiatan kelompok penulis kerana sudah cukup baginya hanya karya yang ‘berbicara’.