Ujang berkata, cetakan baharu yang dianggarkan melebihi 1,500 buah itu merupakan buah tangan pihak produksi Spektra Selasih Sdn. Bhd. buat peminat bagi mengimbau nostalgia di samping membolehkan generasi muda melihat, membaca dan mengetahui tentang Jibam selain di pawagam mulai 7 Disember depan.

"Novel ini akan diagihkan pada setiap acara promosi dan jika kehabisan awal maka ia akan diulang cetak mengikut keperluan.

"Bagi peminat yang sudah terlampau lama menantikan filem adaptasi Jibam, saya menjemput anda semua untuk ke pawagam," katanya ketika ditemui semasa sesi promosi santai filem itu di pekarangan Duyong Art Gallery, di sini malam semalam.

Filem Jibam dilakonkan oleh Mohd. Ariff Abdullah sebagai Jibam di samping Syafie Naswip, Bohari Ibrahim, Farah Ahmad, Esma Daniel, Fadlan Hadzim, Kamarool Yusof serta ramai lagi.

Jibam mengisahkan tentang seorang kanak-kanak istimewa bernama Ashraf. Digelar Jibam, dia sedikit lembab akal fikirannya namun mempunyai keistimewaan yang tersembunyi. Dia mewarisi kepandaian bapanya, Suman untuk mengubati penyakit.

Menurut Ujang, beliau berpuas hati dengan penghasilan filem itu apabila hampir 80 peratus isi kandungan yang diadaptasi menepati hasrat yang ingin divisualkan di layar perak.

Katanya, aura lakonan Mohd. Ariff yang sebelum ini cukup dikenali ramai sebagai Buntat dalam drama 7 Hari Mencintaiku serta Farah diyakini mampu memberi nilai tambah dalam menarik penonton ke pawagan selain kekuatan utama novel yang cukup nostalgia itu.

"Saya sangat berharap filem ini dapat meletup macam Tombirou kalau tidak dapat 100 peratus, 50 peratus pun Alhamdulillah bagaimanapun, saya positif terhadap apa jua penerimaan masyarakat kerana apa yang penting adalah karya ini sudah diadaptasi.

"Serba sedikit untuk dikongsikan dengan penonton adalah pengakhiran Jibam bersifat gembira (happy ending).

"Banyak adegan dalam novel ada pada filem, walaupun cerita lama tetapi apa yang dipaparkan masih wujud dalam masyarakat hari ini misalnya, pergaduhan di kedai kopi, perebutan tanah dan sikap anak yang tidak mempedulikan ibu bapa jadi," katanya. - UTUSAN ONLINE