Ketua Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JHEAIK, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, notis tersebut dikeluarkan selaras dengan Seksyen 5 (1) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1985 iaitu perbuatan tidak sopan.

Menurutnya, jika pemuda itu, Wan Khairul Hayyee Wali, 30, hanya berseluar pendek di tempat bersesuaian seperti gelanggang futsal, dia tidak akan dikenakan tindakan.

“Untuk makluman, peraturan ini bukan baharu, sebaliknya sudah termaktub sejak 1985, namun kita tidak kuatkuasakan secara tegas sehingga sekarang.

“Langkah ini bukan bertujuan menghukum, sebaliknya mahu mendidik semua umat Islam tidak kira lelaki atau perempuan supaya mengambil langkah menutup aurat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, notis menyatakan Wan Khairul Hayyee melanggar undang-undang kerana berseluar pendek dan diarahkan menghadiri sesi kaunseling bulan depan menjadi tular di media sosial sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai

Mengulas lanjut, Mohd. Fadzuli memberitahu, notis sama pernah dikeluarkan terhadap beberapa lelaki lain yang memakai seluar pendek di tempat awam namun hanya kes Wan Khairul Hayyee mendapat perhatian kerana tular di media sosial.

“Tahun ini, sesi kaunseling pertama sudah pun berjalan dan melibatkan kira-kira 70 individu yang didapati melanggar peraturan tidak menutup aurat. Majoritinya ialah golongan wanita,” katanya.

Sementara itu, Wan Khairul Hayyee mendakwa, dia dalam perjalanan untuk bermain futsal dan menerima notis berkenaan daripada seorang penguat kuasa wanita ketika singgah membeli burger di tepi jalan.

Pemuda berkenaan juga mendakwa tidak mengetahui kewujudan larangan memakai seluar pendek di tempat terbuka namun akur dengan notis arahan supaya menghadiri sesi kaunseling bersama JHEAIK. - UTUSAN ONLINE