Menurut Laporan Negara Paling Bahagia 2017 yang dikeluarkan oleh Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari (SDSN), rakyat Norway adalah yang paling bahagia di dunia.

Manakala, negara-negara Sub-Sahara Afrika seperti Syria dan Yaman adalah antara negara yang paling tidak bahagia daripada 155 buah negara yang dilaporkan dalam laporan tahunan kelima Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) itu.

“Negara yang bahagia adalah sebuah negara yang mempunyai keseimbangan dari segi kemakmuran yang diukur sebagai konvensional, dan modal sosial pula bermakna tahap kepercayaan yang tinggi dalam masyarakat, ketidaksamaan yang rendah dan keyakinan terhadap kerajaan,” kata Jeffrey Sachs, pengarah SDSN merangkap penasihat khas Setiausaha Agung PBB dalam satu wawancara.

Katanya lagi, laporan tersebut bertujuan menyediakan alternatif  untuk kerajaan, perniagaan dan masyarakat sivil dalam menyumbang kepada kesejahteraan negara. 

Denmark, Iceland, Switzerland, Finland, Belanda, Kanada, New Zealand, Australia dan Sweden merupakan antara 10 negara paling bahagia di dunia. 

Manakala, Sudan Selatan, Liberia, Guinea, Togo, Rwanda, Tanzania, Burundi dan Republik Afrika Tengah berada di tangga terbawah. 

Sementara itu, Jerman pula di tangga 16 dituruti oleh England (19) dan Perancis (31). Amerika Syarikat pula jatuh di tangga ke 14.

Sachs berkata, kedudukan negara itu jatuh berikutan ketidaksamaan, kurang kepercayaan dan rasuah yang ada. 

Ujarnya, langkah-langkah ekonomi yang cuba diambil oleh Presiden Donald Trump pula hanya memburukkan lagi keadaan. 

“Itu semua hanya meningkatkan ketidaksamaan seperti pemotongan cukai, menarik bantuan penjagaan kesihatan dan memotong bajet Meals on Wheels untuk perbelanjaan ketenteraan. Saya merasakan apa yang diusulkan oleh Trump hanya membawa keburukan,” jelas Sachs.

Kedudukan tersebut adalah berdasarkan enam faktor iaitu keluaran dalam negara kasar per kapita, jangka hayat penduduk, kebebasan, keluhuran, sokongan sosial serta kerajaan dan perniagaan yang bebas rasuah.

Berdasarkan laporan yang disokong oleh Ernesto Illy Foundation itu, negara yang berkedudukan terbawah juga ditentukan berdasarkan enam kriteria tersebut. 

Sachs mahu seluruh negara di dunia untuk mengikut jejak Emiriah Arab Bersatu dan negara lain yang telah mewujudkan kementerian berkaitan kebahagian. 

“Saya mahu kerajaan untuk mengambil langkah ini, berbincang, menganalisis dan memahami langkah-langkah ke arah negara paling bahagia jika mereka sudah tersalah arah,” ujar Sachs. - REUTERS