Dalam nada kesal, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 44, berkata, kenyataannya itu tiada kaitan dengan dakwaan yang dilemparkan oleh segelintir masyarakat sebelum ini.

Menurut Nora, pendapat yang dikongsi di laman sosial itu adalah pandangannya sebagai orang lama dalam industri hiburan.

“Saya tak faham kenapa pen­­dapat saya sering dijadikan isu, terutama kalau dimuat naik di Facebook atau Instagram sedangkan ramai lagi artis lain yang tweet pasal macam-macam dan lebih pe­das, tetapi tiada orang peduli pun.

“Itu yang ingin saya tanya. Cukup-cukuplah nak hentam saya. Sudah 25 tahun saya dalam industri muzik,” kata­nya kepada Utusan Malaysia menerusi aplikasi WhatsApp di sini hari ini.

Penyanyi yang terkenal de­ngan lagu Di Persimpangan Dilema itu menjadi perhatian netizen dan media apabila dia memuat naik status di Facebook mengenai pemilihan pelakon dan penyanyi Fazura sebagai juri dalam sebuah program televisyen.

Isteri kepada komposer ternama Johan Nawawi itu dalam statusnya menulis: “Hebat Fazura ni...dah jadi juri nyanyian sekarang.”

Kata Nora, tulisan berke­naan tidak membawa maksud negatif sebaliknya hanya dikongsi ketika menonton prog­ram berkenaan.

“Memang tak ada maksud apa-apa pun. Itu pendapat spontan masa tengok televisyen. Tapi orang suka jadikan isu. Maaf, saya malas nak layan orang yang tak cerdik ni...mereka ini negatif,” jelas Nora lagi.

Kata Nora, dalam ruangan komen status yang dimuat naiknya itu, bukan semua pengikut laman sosial miliknya memberi reaksi negatif malah ramai yang berfikiran positif.

“Sebenarnya dalam status itu, ada dua orang saja yang negatif, yang lain kebanyakannya bijak. Orang bijak akan ambil pendapat yang saya muat itu secara positif.

“Saya boleh padam status itu, tapi biarlah orang nak hentam, saya dapat banyak pahala,” balasnya lagi.

Selang beberapa jam sele­pas itu, Fazura pula menulis di laman Facebook miliknya mempertikaikan pandangan yang disuarakan Nora dengan menulis: “Seseorang hantar ini kepada saya. Apoooo?”