Nora, 35, berkata, dia dan Nedim yang juga anak kepada Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz sudah lama menantikan detik penyatuan cinta mereka dan mengharapkan hubungan berkekalan selama­nya.

“Penyatuan ini umpama impian yang menjadi nyata. Sudah lama saya tunggu detik untuk disatukan dengan belahan jiwa saya. Diharap semua dapat mendoakan kebahagiaan kami,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
Pasangan yang mula menjalinkan hubungan cinta sekitar tahun 2013 itu selamat diijabkabulkan dalam satu majlis pernikahan tertutup yang diadakan di Glasshouse at Seputeh, di sini hari ini.

Dengan dua kali lafaz, Nora sah menjadi isteri kepada Nedim Nazri, 34, dalam satu majlis tertutup namun meriah yang turut diha­diri keluarga dan teman terdekat.

Dalam pada itu, Nora berkata, mereka sengaja memilih untuk tidak keterlaluan dalam meraikan hari bahagia mereka kerana kedua-dua mempelai sebelum ini pernah melalui fasa perkahwinan dan perpisahan.

“Kami berdua pernah merasai majlis pernikahan yang dibuat secara besar-besaran, namun untuk kali kedua ini biarlah secara sederhana. Tidak semestinya majlis sederhana itu tidak meriah. Kami memilih cara ini kerana lebih peribadi dan intim,” katanya.