Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak, Mohd. Zawawi Zakaria berkata, sele­briti terkemuka tanah air, bintang sukan serta tauke kosmetik merupakan antara individu yang membuat bidaan untuk nombor plat AKU 8055.

Malah menurutnya, pertanyaan untuk nombor plat AKU 8055 sudah diterima sejak tahun lepas kerana mempunyai sebut­an yang unik.

“Kita jangkakan nombor pendaftaran ini akan mendapat bidaan tertinggi. Keputusan bagi permohonan dijangka diperoleh dua hingga tiga minggu selepas tarikh tamat permohonan 18 Julai ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Zawawi berkata, nombor plat AKU 8055 merupakan nombor pendaftaran yang tidak termasuk dalam kategori nombor pilihan, namun menjadi pilihan ramai kerana mempunyai sebutan.

Katanya, lain-lain plat nombor yang dijangka menjadi pilih­an dan mungkin mendapat bidaan tinggi adalah AKU 1308 dan AKU 805 yang mempunyai sebutan AKU BOS.

“Kita tidak boleh jangka berapa nilai bidaan tertinggi bagi nombor tersebut,” katanya.

Mohd. Zawawi berkata, orang ramai boleh mula membida nombor plat kenderaan siri AKU yang dikeluarkan oleh JPJ Perak bermula hari ini sehingga 18 Julai ini.

Menurutnya, nombor siri yang bermula dari nombor 1 hingga 9999 ditawarkan kepada orang ramai mengikut nombor pilihan masing-masing dengan pendaftaran sebanyak RM10.

Katanya, nombor siri yang ditawarkan terbahagi kepada tiga kate­gori iaitu Nombor Bernilai Utama iaitu 1 hingga 10, Nombor Menarik antaranya 2222, 4444, 11, 12 dan 14 dan Nombor Popular seperti 9090, 7070, 2266 dan 4400.

“Bagi Nombor Bernilai Utama, harga minimum RM10,000 manakala Nombor Menarik minimum RM2,000 dan Nombor Popular harga minimum RM300,” katanya.