Ketika mengumumkan pembubaran Parlimen yang berkuat kuasa esok, Perdana Menteri nampaknya menggemari angka itu memandangkan esok adalah 7 April, dan apabila 4 dicampur 7, maka jumlahnya ialah 11.

Berdasarkan logik yang sama, sesetengah orang terus meramalkan bahawa pilihan raya umum ke-14 berkemungkinan akan diadakan pada 29 April, yang sekali lagi akan menyaksikan kewujudan angka 11 iaitu jumlah yang akan didapati apabila 2 dicampur dengan 9.

Najib pernah menjelaskan kenapa 11 begitu istimewa bagi beliau - Allahyarham ayahanda beliau, Tun Abdul Razak Hussein lahir pada 11 Mac 1922; bondanya, Tun Rahah Noah lahir pada 11 Jun 1933; anak sulung beliau juga lahir pada 11 haribulan; dan UMNO diasaskan pada 11 Mei 1946.

Najib pula adalah Menteri Besar Pahang ke-11 dan bergelar Orang Kaya Indera Shah Bandar Ke-11.

Menurut laporan, beliau mempunyai kenderaan rasmi yang menggunakan nombor pendaftaran khas dengan angka 11. - BERNAMA