Pengarah JPJ negeri, Ismasuhaimi Shariff berkata, sebanyak RM1.5 juta nilai bidaan disasarkan bagi keseluruhan nombor pendaftaran siri itu.


“Sasaran itu diletakkan susulan sambutan memberangsangkan pada siri nombor pendaftaran lalu seperti KEN yang mengutip RM4.13 juta dan menjadi kutipan tertinggi bagi JPJ negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ negeri di sini hari ini.


Tambah Ismasuhaimi, terdapat empat kategori harga tempahan ditetapkan kepada orang ramai yang mahu menempah nombor pendaftaran KER.


“Bagi kategori nombor bernilai utama (golden number) seperti KER 1 hingga KER 10, harga minimum untuk tender adalah RM10,000 manakala minimum bagi kategori nombor menarik seperti KER 14 atau KER 15 adalah RM2,000.

“Selain itu, RM300 dikenakan bagi mereka yang ingin menempah nombor pendaftaran siri itu yang membabitkan kategori nombor popular dan nombor biasa,” katanya.


Sementara itu, beliau berkata, pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu bagi menguruskan urusan tempahan nombor pendaftaran dan semua urusan berkaitan adalah secara terus antara orang awam dan JPJ.


Katanya, orang ramai yang berminat boleh mengemukakan tempahan kepada Pengarah JPJ Kedah dan panduan serta syarat-syarat lanjut mengenai tempahan boleh dilayari di laman web JPJ di http://www.jpj.gov.my/.


Dalam pada itu, Ismasuhaimi memaklumkan, pihaknya juga sudah mengubah waktu operasi tugasan JPJ di kaunter mereka di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Alor Setar dan Sungai Petani.


“Bagi kaunter di UTC Alor Setar, waktu operasi dari Ahad hingga Khamis bermula pukul 1 tengah hari hingga 10 malam dan pukul 8 pagi hingga 5 petang pada Jumaat dan Sabtu. Manakala, operasi di UTC Sungai Petani pula dari pukul 8 pagi hingga 5 petang dari Khamis hingga Sabtu,” katanya. -UTUSAN ONLINE