Menurut Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye, Jalur Gemilang gergasi berukuran lima meter lebar dan 11 meter panjang yang diperbuat daripada bahan tarpaulin itu diturunkan oleh pasukan khas latihan bekerja di tempat tinggi NIOSH, sebagai gimik untuk menunjukkan gabungan kreativiti dan cara bekerja selamat yang ditekankan oleh pihaknya.

“Walaupun kita sering melihat bendera bersaiz besar dipasang di pelbagai jenis bangunan, NIOSH mahu pemasangannya dilakukan dengan cara yang betul oleh mereka yang mempunyai kemahiran,” katanya selepas majlis Sambutan Hari Kemerdekaan ke-60 di ibu pejabat NIOSH, di sini hari ini.

Aksi lasak abseiling digunakan untuk mengibarkan Jalur Gemilang.

Aksi lasak abseiling digunakan untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Turut hadir Pengarah Ekskutif NIOSH Zahrim Osman dan Setiausaha Eksekutif NIOSH Ayop Salleh.

Pasukan khas NIOSH yang terdiri daripada tenaga pengajar bertauliah kumpulan “Working at Height” dari Bahagian Kompetensi Kemahiran Keselamatan NIOSH itu diketuai oleh pengurusnya Muhammad Zaeem Mokhtar.

Pada majlis itu, Lam Thye turut mendeklamasikan sajak, Erti Kemerdekaan hasil nukilan Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said.

Beliau kemudiannya melepaskan 60 biji belon yang mewakili warna jalur gemilang iaitu biru, putih, kuning dan merah bagi melambangkan ulang tahun kemerdekaan Malaysia yang ke-60.

Patriotik.

Patriotik!

Menurutnya, majikan dan pekerja seluruh negara perlu memberikan keutamaan terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) dalam setiap aspek agar impian negara ingin menjadi negara maju turut diiringi dengan jumlah kemalangan industri yang rendah.

“NIOSH yang meraikan ulang tahun ke-25 tahun ini berazam untuk membantu negara mencapai impian menurunkan kadar kemalangan industri negara kepada hanya dua kes bagi setiap 1,000 pekerja pada masa akan datang, seperti yang dicatatkan di negara-negara maju.

“Ketika kita meraikan kemerdekaan kali ke-60, kita juga perlu berazam meningkatkan kesedaran mengenai amalan KKP yang baik serta menjadikannya budaya kita,” katanya. – UTUSAN ONLINE