Pengerusinya, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, usaha tersebut bagaimanapun tidak akan berjaya tanpa sokongan daripada semua pihak yang berkepentingan.

Menurutnya, NIOSH secara bersendirian tidak mampu untuk melibatkan lebih 10,000 sekolah dan 5 juta pelajar tanpa bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

"Kami juga memerlukan bantuan mereka untuk menyemai budaya dan amalan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang baik dalam kalangan beratus ribu guru dan kakitangan bukan akademik di semua sekolah.

"Sehingga kini, lebih 50 buah sekolah telah mengambil bahagian dalam program ini dan jumlah itu dijangka akan meningkat sekiranya ada sokongan pelbagai pihak termasuk NGO dan Swasta," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau menyampaikan kertas kerja bertajuk 'KKP di Sekolah - Pendekatan NIOSH Malaysia dalam Memupuk Budaya KKP di peringkat Awal di Malaysia" pada sesi teknikal Persidangan Tahunan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Asia Pasifik ke-33 (APOSHO 33) di Hong Kong. - UTUSAN ONLINE