Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, NIOSH turut mengadakan 500 aktiviti penyebaran maklumat mengenai budaya Pekerjaan dan Keselamatan (OSH) yang baik kepada seluruh pekerja di beberapa syarikat multinasional seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Petronas.

Katanya, NIOSH juga dilihat berjaya memainkan peranan sebagai tulang belakang dalam mengawal selia para pekerja di negara ini mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.

“Saya juga bangga kerana sumber kewangan NIOSH tidak sepenuhnya bergantung kepada kerajaan untuk menjalankan operasi harian.

“Dalam era Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0) dan dunia digital tanpa batas, kita memerlukan strategi serta usaha yang lebih baik, justeru perancangan dan semangat berpasukan amat penting untuk NIOSH terus mencapai hala tuju,” katanya.

Beliau berucap demikian dalam Sambutan Ulang Tahun Ke-25 Jubli Perak NIOSH, di Bangi, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye dan Pengarah Eksekutif NIOSH, Ayop Salleh.

NIOSH ditubuhkan sebagai sebuah syarikat yang terhad oleh jaminan di bawah Kementerian Sumber Manusia pada 24 Jun 1992 dan dibenarkan beroperasi sendiri bagi memberi perkhidmatan yang cekap selain meminimumkan masalah birokrasi. - UTUSAN ONLINE