Kajian itu bertujuan untuk mengumpul data berkenaan tubuh badan pekerja di Malaysia bagi membantu majikan merancang tempat kerja yang lebih selamat dan sihat bagi pekerja.

Menurut Pengarah Eksekutifnya, Ayop Salleh, data daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyatakan bahawa kes penyakit pekerjaan yang tertinggi dicatatkan di Malaysia adalah melibatkan penyakit muskuloskeletal (rangka otot) yang disebabkan penggunaan ruang kerja seperti meja, kerusi dan peralatan perlindungan diri (PPE) yang tidak sesuai dengan tubuh pekerja di Malaysia.

“Bagi mengatasi masalah tersebut untuk jangka masa panjang dan mampan, buat pertama kali, satu kajian oleh NIOSH berkenaan dengan data antropometrik pekerja di Malaysia sedang dijalankan.

“Ianya sangat penting untuk merungkai dilema yang dihadapi bagi menyesuaikan manusia dengan peralatan kerja termasuk mesin, peralatan perlindungan diri yang digunakan, ruang kerja dan persekitaran tempat kerja. Sebelum ini, kita hanya bersandarkan dengan data yang dibangunkan oleh negara luar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, penghasilan peralatan kerja yang berpandukan data tubuh badan pekerja Eropah yang mempunyai saiz ukuran badan dan ketinggian yang lebih besar berbanding pekerja Malaysia menyumbang kepada masalah penyakit pekerjaan yang berlaku.

Sehubungan itu, kata beliau, NIOSH akan menjalankan kajian dengan sasaran penglibatan 10,000 responden dengan mengumpulkan 50 parameter - parameter terbanyak dalam kajian antropometrik di Malaysia bagi mendapatkan data yang diperlukan.

“Kajian yang dijangka memakan masa selama dua tahun ini, akan menjadikan NIOSH sebagai hab bagi pihak berkepentingan untuk mendapatkan maklumat pengukuran saintifik tubuh badan manusia, di samping dapat mempromosikan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) terutamanya kepentingan ergonomik di tempat kerja,” katanya. - UTUSAN ONLINE