Pengerusi Lembaga Pengarah NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, dua hangar itu akan dibina di Kampus Ibu Pejabat NIOSH di Bangi, Selangor dan Kampus Latihan di Johor Bahru.

Menurutnya, hangar yang bakal dilengkapi peralatan khas itu, membolehkan program latihan dalam bidang kesihatan dan keselamatan pekerjaan dapat dijalankan dengan lebih sempurna.

“Mesyuarat lembaga pengarah NIOSH baru-baru ini telah meluluskan pembinaan dua hangar itu kerana sebelum ini hanya dilakukan di dalam tempat yang sempit.

“Kita jangka hangarn yang bakal siao pertengahan tahun hadapan akan memiliki kemudahan serta peralatan mencukupi untuk mematuhi kehendak industri,” ka­tanya selepas Majlis Penghargaan Jurulatih NIOSH Zon Utara di sini hari ini.

Tambah, Lam Thye, NIOSH juga akan membina tiga lagi pejabat baharu dalam masa terdekat di Pengerang, Johor; Tawau, Sabah dan Manjung, Perak sebagai tambahan kepada 12 pejabat sedia ada di seluruh negara.

Beliau juga menasihatkan majikan tidak mengurangkan bajet untuk kesihatan dan keselamatan pekerja biarpun terpaksa mengurangkan kos operasi ekoran krisis ekonomi yang dijangka merun­cing tahun hadapan.

Jelas beliau, kesihatan dan keselamatan pekerja amat penting bagi memastikan kelangsungan operasi syarikat dan mengelakkan kerugian sumber tenaga buruh.

“Berdasarkan statistik yang di­keluarkan Pertubuhan Kese­la­matan Sosial (Perkeso), pada tahun ini sahaja antara Januari hingga Oktober sebanyak 804 kematian melibatkan pekerja direkodkan.

"Sebanyak 52,235 kes kemalangan dicatatkan dengan 28,404 adalah kemalangan industri dan 23,831 (kemalangan ketika pergi dan balik dari tempat kerja)," ujarnya.

Oleh itu, kata Lam Thye, semua pihak seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR); Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros); Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) serta agensi lain harus memainkan peranan membantu mengurangkan kes kemalangan ketika pergi dan balik dari kerja.

“Selain itu, majikan juga harus mencari jalan serta sentiasa meng­adakan kempen pemanduan selamat kepada pekerja terutama yang menunggang motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja,” katanya.