LEE LAM THYE

Pengerusi NIOSH, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, keutamaan akan diberikan kepada pusat tahfiz yang daif dan telah berusia lebih 10 tahun.

Beliau berkata, pemeriksaan audit itu akan dilakukan setiap tahun seperti yang dilaksanakan di tempat kerja lain.

“NIOSH akan mewujudkan sebuah modul khas mengenai audit kese­lamatan yang perlu diperiksa oleh pusat-pusat tahfiz ini seperti keselamatan di kelas, alat pembelajaran, perabot, alat cegah kebakaran dan lain-lain.

“Pada masa sama, NIOSH juga akan memberikan kempen kese­daran kepada pelajar dan guru-guru di pusat tahfiz ini supaya mereka sedar mengenai bahaya yang mungkin wujud di persekitaran mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai syor Jawatankuasa Peringkat Tertinggi Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz susulan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Datuk Keramat, Kuala Lumpur minggu lalu.

Terdahulu, Lam Thye menutup Persidangan serta Pameran Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kali Ke-20 di sini hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pelaksanaan audit tersebut hanya dapat dilaksanakan selepas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang bakal bertindak sebagai penyelaras jawatankuasa tersebut mendaf­tarkan semua pusat tahfiz termasuk yang berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

“Perkara yang paling pen­ting ialah semua pusat tahfiz ini perlu didaftarkan terlebih dahulu berikutan itu, kerajaan Pusat perlu bekerjasama de­ngan kerajaan negeri kerana hal ehwal agama Islam terletak di bawah mereka dan kemudian baru proses audit ini dapat dijalankan,” katanya.