Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, usaha dakwah yang dijalankan akan me­­nemui kesukaran sekiranya umat Islam terus memberikan imej buruk kepada agama tersebut dengan bertelingkah sesama sendiri serta menolak kemajuan duniawi.

Kata beliau yang juga Yang Di­pertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Islam adalah agama yang baik, namun terdapat pihak yang cuba menonjolkan nilai sebaliknya.

“Dalam al-Quran ada menyatakan bahawa Allah hanya akan membantu jika kita membantu diri sendiri. Persoalannya, adakah kita membantu diri kita sendiri?

“Dalam konteks dakwah, saya mendapati kadangkala kita tidak membantu diri kita sendiri. Kita melakukan perkara yang menjauhkan orang daripada Islam,” katanya ketika merasmikan Institut Dakwah Antarabangsa Perkim Kuala Lumpur (IDIP-KL) di Balai Islam Perkim di sini hari ini.

Yang hadir sama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Setiausaha Agung Perkim, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor.

Tambah Dr. Mahathir lagi, adalah malang apabila terdapat segelintir penganut agama Islam me­nunjukkan gambaran yang tidak baik terhadap Islam, seterusnya memburukkan imej agama terbesar dunia itu.

“Islam merupakan agama yang baik dan juga cara hidup. Cara hidup inilah yang akan membuatkan orang kagum dengan Islam.

“Malangnya, kita melihat segelintir orang memberikan gambaran bahawa Islam merupakan sebuah agama yang tidak berjaya dengan bermacam cara,” ujarnya.

Jelas Dr. Mahathir, sebahagian umat Islam ketika dalam tempoh krisis bertelagah sesama sendiri sehingga ke tahap membunuh dan gagal mentadbir negara sendiri.

Hal ini menurut beliau, menyebabkan umat Islam gagal mempengaruhi masyarakat dunia dan menjauhkan mereka daripada ajaran Islam.

“Islam mengajar bahawa ki­ta bersaudara tetapi tidak ber­kelakuan seperti saudara. Kita bergaduh sesama sendiri. Islam melarang daripada membunuh tetapi berbunuhan sesama sendiri. Islam menganjurkan keadilan dan kesaksamaan tetapi itu juga tidak kita amalkan,” jelasnya.