Menurut aktivis PH, Fadiah Nad­wa Fikri, perjuangan puak berhaluan kiri tersebut merupakan fakta yang tidak dimasukkan di dalam buku teks sedia ada walaupun para pejuang berkenaan turut sama berjuang untuk kemerdekaan negara.

Dia yang juga seorang peguam menjelaskan, fakta tersebut perlu dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah bagi memberi kefahaman kepada pelajar dan masyarakat mengenai Malaysia sebagai sebuah negara.

“Saya tidak mengatakan buku-buku teks ini salah, cuma, terdapat fakta-fakta yang tidak tepat dan perlu diubah (dengan memasukkan) sejarah perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM).

“Fakta yang ada (dalam buku teks Sejarah) mengenai satu pihak (sahaja), sedang dalam perjuangan kemerdekaan ada banyak pihak lain yang terlibat,” katanya selepas forum Perlukah Kita Menulis Semula Buku Sejarah? di sini hari ini.

Tambahnya, kerajaan tidak perlu takut untuk memasukkan sejarah perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri kerana ini adalah perkara yang telah berlaku pada masa lampau dan telah direkodkan.

Di dalam forum yang diadakan sempena program A People’s History of Malayan Emergency itu, Fadiah Nadwa turut menyatakan PKM memperjuangkan keadilan sosial, demokrasi tulen dan keamanan dunia.

Pendapat sama turut diberikan oleh seorang lagi panelis, Fahmi Reza yang mendakwa buku teks sedia ada merupakan satu alat propaganda politik kerajaan sebelum ini.

Pereka grafik itu turut mempertikaikan kredibiliti penulis buku-buku Sejarah tersebut adalah ahli parti kerajaan pemerintah sebelum ini.

Fahmi menegaskan, buku-buku tersebut sepatutnya menjadi naskhah sejarah sebenar dan tidak seharusnya dijadikan alat propaganda politik oleh mana-mana pihak terutamanya oleh kerajaan baharu.

“Saya sendiri akan menentang jika kerajaan baharu ini melakukan demikian (menjadikan buku teks tersebut propaganda politik).

“Lebih baik tidak payah ditulis semula jika buku-buku sejarah ini akhirnya hanya akan menjadi alat,” katanya.