Dynas atau Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar, 35, dinikahkan bapanya Datuk Wan Mokhtar Wan Mohd disaksikan Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Khairul Anuar Mulim dan kedua belah pihak.

Dynas menerima mas kahwin RM1001, wang hantaran RM30,000 beserta set barangan kemas serba satu dan tujuh dulang hantaran daripada pihak lelaki.

Sementara pihak pengantin perempuan membalas sembilan dulang termasuk rawatan lasik berjumlah RM13,000 yang dilakukan Selasa lalu.

Majlis pernikahan itu dihadiri 150 jemputan yang terdiri daripada keluarga dan kenalan rapat pengantin.

Majlis diserikan lagi dengan barisan pembawa dulang hantaran pihak pengantin perempuan yang terdiri daripada rakan artis iaitu Yasmin Hani, Aisyah Sinclair, Daphne Iking, Atilia dan Sazzy Falak. Manakala Scha Alyahya pula sebagai pengapit.

Dalam pada itu, Dynas mengakui dia tetap berasa berdebar dan gementar meskipun majlis kali ini merupakan pernikahan keduanya.

Tambah Dynas, dia juga tidak mampu menahan tangis selepas ibunya, Datin Rasiah Shaharuddin memeluk dan memberi kata-kata istimewa padanya.

“Debaran dan gementar tu sudah semestinya saya rasai tetapi syukur semuanya berjalan dengan lancar.

“Walaupun cuba berlagak tenang, namun saya tetap menangis selepas ibu saya memeluk dan memberi kata-kata nasihat yang istimewa,” kata Dynas ketika ditemui media pada majlis pernikahannya.

Dynas dan Shazrik yang berkenalan empat tahun lalu membuat keputusan untuk ke jenjang pelamin selepas melangsungkan pertunangan 26 Oktober lalu.

Selepas majlis nikah, pasangan itu mengadakan majlis resepsi yang berlangsung di lokasi sama.

Majlis bertandang akan diadakan pada 28 April di sebuah dewan di Damansara manakala satu lagi resepsi di sebuah hotel di ibu negara pada 5 Mei.

Menerusi perkahwinannya yang terdahulu, Dynas dikurniakan dua anak iaitu Khyra Khalyssa yang berusia lapan tahun dan Mohamed Haqaish, enam tahun. - UTUSAN ONLINE