Pengantin lelaki, Mohd. Khairullah Ahmad Fuad, 33, selamat dinikahkan bersama pasangannya, Nurul Amira Zakaria, 30, oleh Jurunikah Masjid Ar Rahman, Kampung Rantau Panjang, Ustaz Sufree Majid sambil dibantu oleh Ustaz Mohd. Al-Rashir Abu Bakar dari Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sebagai penterjemah.

Dalam majlis kira-kira pukul 5 petang itu, Mohd. Khairullah berasal dari Negeri Sembilan bagaimanapun berjaya melafazkan akad nikah menggunakan bahasa isyarat dengan sekali percubaan sahaja sebelum di­sahkan oleh wali hakim serta dua saksi.

Menurut Sufree, dia bersyu­kur kerana majlis pernikahan dua pasangan OKU itu berjalan lancar walaupun kedua-dua me­reka mempunyai masalah pendengaran dan percakapan.

“Selain mereka, saya juga dikehendaki menghadiri kursus untuk mengendalikan kes-kes istimewa seperti itu dan ini pengalaman pertama saya sejak 15 tahun menjadi jurunikah,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, di sini semalam.

Sementara itu, bapa kepada pengantin wanita, Zakaria Musa, 55, memberitahu, dia amat gembira walaupun terpaksa melepaskan anak perempuan yang merupakan nadi keluarganya.

“Walaupun OKU, Amira yang juga anak sulung merupakan seorang anak yang sangat rajin dan bertanggungjawab malah suka menguruskan kerja rumah selain menjaga neneknya yang sudah uzur.

“Semoga dia dapat hidup bahagia bersama suami seperti orang normal lain dan melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai seorang isteri,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kedua-dua pasangan itu berkenalan dalam laman sosial Facebook dan se­ring berhubung melalui panggilan video aplikasi WhatsApp sebelum menjalinkan hubungan serius.

“Selepas kedua-dua keluarga mengetahui tentang hubungan anak saya, keluarga kami dan keluarga pengantin lelaki mengambil keputusan untuk menyatukan mereka dengan ikatan perkahwinan,” tambahnya.