Dalam masa sama, tiada ke­perluan untuk meminda umur minimum pasangan beragama Islam di negeri ini iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan yang telah ditetapkan dalam peruntukan enakmen tersebut.

Ini adalah antara tujuh resolusi yang dicapai dalam Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur : Penilaian dan Pendekatan Holistik anjuran bersama Kerajaan Pas Kelantan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jheaik) dan Pertubuhan Lepasan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Kelantan di sini kelmarin.

Persidangan itu juga turut menolak Konvensyen Me­­­ngenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCRC) dan Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) yang mendesak agar kanak-kanak berusia 18 tahun ke bawah tidak dibenarkan berkahwin tanpa sebarang pengecualian.

“Dua konvensyen ini tidak sesuai dilaksanakan khususnya bagi orang Islam di Kelantan mengambil kira kebejatan sosial hari ini serta telah wujud­nya mekanisme ketat kawalan perkahwinan bawah umur yang telah diperuntukkan dalam undang-undang dan Piawaian Operasi Standard (SOP) yang digariskan.

“Kemaslahatan perkahwinan pasangan bawah umur hendaklah dinilai melalui penelitian menyeluruh daripada aspek kerelaan pasangan dan kesedia­an mendirikan rumahtangga seperti kemampuan, emosi, fizikal, mental, seksual, sosial, spiritual, kesihatan, pendidikan, sekufu dan sebagainya,” kata resolusi itu yang dikeluarkan di sini semalam.

Persidangan tersebut mengumpulkan 80 peserta mewakili pelbagai jabatan dan institusi termasuk perkongsian beberapa panelis antaranya pakar undang-undang dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Presiden Persa­tuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Rosediani Muhamad.

Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.