Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Kerajaan Pas Kelantan menerima resolusi yang dicapai satu persidangan meja bulat berkaitan isu perkahwinan bawah umur di sini baru-baru ini.

"Dalam persidangan meja bulat anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK), rumusannya semua panel bersetuju supaya had umur minimum sedia ada dikekalkan iaitu lelaki 18 tahun, perempuan 16 tahun.

"Perbincangan itu disertai panel yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan kepakaran. Selepas dibentangkan kepada kerajaan negeri, kita melihat daripada pelbagai aspek serta keperluan semasa, dan kita menerima rumusan itu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Persidangan Meja Bulat Perkahwinan Bawah Umur: Penilaian dan Pendekatan Holistik dengan kerjasama Pertubuhan Lepasan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Kelantan berjaya merumuskan tujuh resolusi.

Antaranya, perkahwinan bawah umur adalah wajar dan selaras dengan hukum syarak malah menjadi satu ke­perluan di Kelantan sebagaimana termaktub dalam peruntukan Seksyen 8 Enakmen Keluarga Islam Kelantan 2002 yang membenarkannya dengan syarat mendapat keizinan bertulis mahkamah.

Dalam masa sama, tiada ke­perluan untuk meminda umur minimum pasangan beragama Islam di negeri ini iaitu 18 tahun bagi lelaki dan 16 tahun bagi perempuan yang telah ditetapkan dalam peruntukan enakmen tersebut.

Antara panel terlibat ialah pakar undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Noor Aziah Mohd Awal; Presiden Persa­tuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dan Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Madya Dr. Rosediani Muhamad.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar memberitahu, susulan keputusan terbabit, prosedur berkaitan perkahwinan bawah umur sedia ada di negeri ini dikekalkan termasuk wajib mendapat kebenaran bertulis mahkamah.

"Mahkamah akan panggil bakal pengantin dan ahli keluarga. Mereka akan menjalani proses temuduga dan lain-lain dan selepas mahkamah berpuas hati, barulah surat kebenaran dikeluarkan.

"Penilaian dibuat akan mengambil kira pelbagai aspek seperti psikologi, mental, persediaan fizikal dan lain-lain, bukan lulus sewenang-wenangnya. Kalau bakal pengantin tidak bersedia, surat kebenaran tidak dikeluarkan," katanya.

Tambah beliau, tujuan utama kebenaran perkahwinan umur adalah untuk mengelak perbuatan sumbang atau Zina dalam kalangan golongan belia.

"Kalau kita tegah, mereka tetap akan cari jalan lain (untuk bersama)," katanya. - UTUSAN ONLINE