AZMIN ALI
MOHAMED AZMIN ALI

Sudahlah begitu, setiap kali penduduk merintih dan menempelak kegagalan urus tadbir Menteri Besar Selangor itu, cepat-cepat beliau mengalihkan isu dengan menyalahkan kerajaan Persekutuan.

Persatuan Pengguna Air dan Tenaga Malaysia (WECAM), Saravanan Thambirajah berkata, Mohamed Azmin tidak boleh terus angkuh dan bongkak kerana sikapnya itu mengakibatkan kira-kira 300,000 pengguna di 63 kawasan Gombak pada hari ini menjadi mangsa gangguan bekalan air.

“Jika margin air simpanan mencukupi, tidak timbul isu tiada air apabila aktiviti membaiki paip dilakukan. Ini membuktikan Mohamed Azmin gagal dalam memastikan kemudahan asas pengguna sentiasa mencukupi.

“Sepatutnya beliau perlu menyediakan pelan kecemasan supaya kemelut air tidak lagi berlaku. Tidak sampai sebulan, pengguna kena berdepan lagi situasi beratur dengan baldi,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan hari ini memaklumkan sebanyak 63 kawasan di Wilayah Gombak mengalami gangguan bekalan air hari ini ekoran kerja pembaikan paip pecah berhampiran Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2 ), Dataran Ukay, Hulu Klang, di sini.

Antara kawasan yang terjejas adalah Kampung Pasir; Taman Kelab Ukay; Taman Bukit Mulia; Taman Sering Ukay; Tinjani Ukay; Taman Ukay Seraya; Taman Ukay Tropika; Taman Beverly Height; Taman Bukit Jubina; Taman Pinggiran Ukay dan seluruh Taman Bukit Antarabangsa. - UTUSAN ONLINE