Ketua NGO Antarabangsa, Datuk Dr. Mustapha Ahmad Marican berkata, dalam pertemuan selama dua jam itu, pihaknya telah mendengar cerita sebenar dari mereka sendiri yang mendakwa dijanjikan pekerjaan di hotel-hotel di Siem Reap yang terkenal dengan pelancongan namun ditipu oleh sindiket.

Menurutnya, kesemua 47 rakyat Malaysia yang ditahan ini datang dari keluarga susah di pendalaman Sarawak dan terpedaya dengan janji-janji sindiket untuk bekerja di negara itu.

“Setelah tiba di Kemboja, sindiket telah mengambil pasport mereka dan telefon bimbit juga dirampas mengakibatkan mereka terputus hubungan dengan keluarga di Malaysia.

“Hasil perjumpaan, saya boleh rumuskan mereka semua terpedaya dengan janji pekerjaan yang menarik. Mereka masih muda dan tiada pengalaman tinggal berjauhan dengan keluarga,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ujar Mustapha, pertemuan itu juga dibuat bagi memastikan kebajikan mereka terpelihara dan bantuan dapat disalurkan dengan kerjasama Menteri Kanan Kemboja, Oknha Datuk Dr. Othsman Hassan.

“Apabila mereka lihat saya hadir dengan memakai baju batik, wajah mereka sangat ceria kerana mereka tahu saya dari Malaysia. Kita berkesempatan memberikan bantuan seperti sabun, air bersih, ubat-ubatan dan keperluan lain termasuk juga kad pra-bayar telefon supaya mereka dapat menghubungi ahli keluarga mereka di Malaysia.

“Selain itu, kami juga membekalkan kain pelekat dan telekung kepada 15 rakyat Malaysia dalam tahanan yang beragama Islam supaya mereka boleh menunaikan solat ketika berada di sana,” ujarnya.

Mustapha memaklumkan, setelah berbincang, Othsman bersetuju untuk membawa perkara berkenaan kepada Perdana Menteri Hun Sen bagi membolehkan perbincangan mengenai nasib rakyat Malaysia itu dilakukan.

“Kedutaan Malaysia juga perlu memainkan peranan utama untuk menyelesaikan isu ini dan beliau hanya mampu membantu menerusi urusan diplomatik sehingga semua tahanan dibebaskan,” katanya.

Khamis lalu, Wisma Putra mengesahkan laporan penahanan 47 rakyat Malaysia itu di Poi Pet sejak 11 Disember lalu atas pertuduhan menipu, membuka dan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian secara haram.

Daripada 47 mangsa yang ditahan, 44 tahanan berasal dari Sarawak dan mereka disyaki menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia yang memperdaya mangsa dengan gaji lumayan jika bersetuju bekerja di Kemboja dengan bayaran wang pendahuluan antara AS$100 (RM407) hingga AS$200 (RM814) seorang.-UTUSAN ONLINE