Terbaharu, ‘lampu hijau’ yang diberikan kerajaan negeri untuk membina dua buah hotel di Bukit Bendera baru-baru ini menjadi perkara utama dibangkitkan kumpulan berkenaan.

Wakil Penang Forum, Khoo Salma berkata, Bukit Bendera tidak harus diganggu atas nama pembangunan dan sewajarnya kawasan hutan serta bukit di situ dilindungi pihak berkuasa.

“Pada tahun lepas, sebanyak 200 kejadian tanah runtuh dilaporkan berlaku di Bukit Bendera. Seharusnya kejadian itu menjadi perkiraan utama kepada kerajaan negeri sebelum meluluskan projek pembangunan,” katanya di sini hari ini.

NGO berkenaan sebelum ini mengadakan beberapa siri demonstrasi di seluruh negeri bagi membangkitkan kesedaran terhadap pentingnya memelihara kawasan hutan dan lereng bukit di negeri ini yang semakin diasak pembangunan.

Mengulas lanjut, Khoo Salma berkata, rakyat negeri ini berhak diberi penjelasan mengapa kerajaan negeri begitu berminat untuk meluluskan projek berkenaan.

“Siapa sebenarnya berada di belakang projek ini. Kami tidak akan berdiam diri malahan akan terus membangkitkan kebimbangan berhubung isu alam sekitar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE