Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Datuk Mohd. Ridzuan Abdullah berkata, pihaknya telah mengenal pasti produk-produk keluaran Israel dan akan mencetak 100,000 risalah untuk diedarkan di seluruh negara bagi tujuan boikot itu.

“Sebelum ini kita pernah melakukan tindakan boikot produk-produk Israel semasa negara rejim itu menindas rakyat Palestin dan kesannya, ada beberapa syarikat yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka hampir gulung tikar.

“Jadi apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel, kita mahu kempen boikot ini dilakukan sekali lagi bagi memberi peringatan kepada mereka supaya membebaskan kota suci umat Islam itu daripada dimanipulasi oleh rejim Zionis,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum memorandum bantahan pengiktirafan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel kepada Kedutaan Amerika Syarikat, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM) Amir Amsaa Alla Pitchay dan beberapa ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam lain. -UTUSAN ONLINE