Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Penang Forum dan Penang Hill Watch dalam kenyataan bersama di sini hari ini berkata, kerajaan negeri juga perlu menyelesaikan segera masalah banjir bagi mengelak tragedi lebih buruk pada masa depan.

Menurut mereka, beberapa kawasan bukit dalam laluan antara Jalan Tun Sardon menuju ke Balik Pulau di sini, dikesan mengalami runtuhan tanah yang serius sama ada disebabkan faktor tebus guna tanah atau kejadian semula jadi.

“Apa yang membimbangkan, keadaan runtuhan tanah itu tidak ditutup atau dipulihara dengan sempurna dengan ada yang hanya ditutup dengan kain kanvas.

“Sedangkan laluan itu merupakan jalan utama yang digunakan penduduk setiap hari sekali gus mendedahkan mereka kepada risiko keselamatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, kedua-dua NGO berkenaan turut mendesak kerajaan negeri mengambil kira faktor perubahan iklim dan cuaca di negeri ini dalam meluluskan projek khususnya di kawasan berisiko alam sekitar.

Tambahnya, kerajaan negeri tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan projek seperti di lereng bukit dan kemudian menyalahkan keadaan cuaca seperti hujan lebat apabila berlakunya bencana seperti tanah runtuh. – UTUSAN ONLINE