Laporan polis itu dibuat dengan diketuai Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay bersama enam lagi NGO iaitu Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Amanah Rahsia Cekal (ARC), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Kipidap dan Persatuan Badan Kebajikan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa India Muslim Kuala Lumpur dan Selangor (PEMBAKTIM).

Menurut Amir Amsaa, individu tersebut mengeluarkan kata-kata kesat tersebut disebarkan dalam aplikasi WhatsApp sejak seminggu lalu.

"Menerusi rakaman itu, lelaki tersebut merendahkan martabat kaum India Muslim dan menghasut supaya orang ramai memboikot kedai mamak.

"Kenyataan tersebut satu tindakan jahat yang boleh menggugat keharmonian kaum di negara ini," katanya selepas membuat laporan di Ibu pejabat Polis Daerah Sentul, di sini.

Tambah Amir Amsa, tindakan tegas perlu diambil polis dan pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE