Mohamad Salleh Ismail
MOHAMAD SALLEH ISMAIL

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail berkata, ini kerana sejak 25 Oktober 2018, NFC sudah mempunyai pembeli baharu yang sedia dan bersetuju bagi membayar balik baki pinjaman penuh dalam masa tiga bulan daripada persetujuan pihak kerajaan untuk penstrukturan semula syarikat.

Katanya, pembeli baharu NFC bersetuju untuk mengangkat penuh tanggungan liabiliti pinjaman asal syarikat dan bersedia membuat pembayaran penuh full redemption terhadap jumlah baki pinjaman sebenar daripada kerajaan.

Beliau malah berkata, hasrat itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melalui surat bertarikh 21 November 2018.

“Pihak pembeli baharu juga telah memaklumkan kepada kerajaan kesanggupan dan keyakinan mereka untuk memulihkan dan menstrukturkan semula NFC, termasuk pembayaran penuh baki pinjaman dengan kerajaan.

“Pembeli baharu dan kerajaan khususnya Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah berbincang dan mengatur perancangan untuk pemulihan semula projek ini demi mencapai matlamat Keselamatan Makanan Negara terutama dalam isu pengeluaran makanan yang terjamin halal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya penjelasan itu dibuat bagi merujuk kepada kenyataan akhbar Kementerian Kewangan Malaysia bertarikh hari ini berkenaan penyelesaian pinjaman NFC yang masih tertunggak.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, berdasarkan Penyata Lengkap Pinjaman Kerajaan Persekutuan setakat 30 April 2019 daripada Jabatan Akauntan Negara, baki pinjaman NFC yang belum selesai kepada kerajaan berjumlah RM253.6 juta.

Kata menteri itu, kementerian mengambil keputusan bagi menuntut sepenuhnya jumlah pinjaman daripada NFC dan perkara tersebut telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada 29 Ogos 2018 untuk tindakan lanjut.

Mengulas mengenai kenyataan Kementerian Kewangan, Mohamad Salleh percaya ia adalah susulan daripada surat bertarikh 17 Mei 2019 yang dihantar oleh pihak pembeli baharu kepada kementerian itu untuk membayar balik pembayaran penuh pinjaman.

“Saya yakin bahawa, di bawah kepimpinan Dr. Mahathir, isu ini akan diselesaikan secara terbaik di mana pihak NFC akan membayar balik baki tertunggak pinjaman kepada pihak kerajaan, dan projek yang penuh dengan potensi ini akan dibangunkan semula oleh pihak kerajaan dan pihak pembeli baharu syarikat NFC,” katanya. - UTUSAN ONLINE