Menurut Tom Samah, 63, yang juga orang kurang upaya (OKU) dengan sebelah matanya buta, dia tidak sanggup membiarkan tiga cucunya, Nurul Atikah Naj­wa Azzahari, 10, Iman Darwish, 3, dan Amar Darwish, 2, hidup terbiar sementelah dua daripadanya berdepan penyakit yang jarang ditemukan.

“Iman Darwish berdepan ke­sukaran untuk berdiri dan berjalan kerana tulang pinggangnya lembut sementara Amar pula menghidap penyakit kulit kronik sejak berusia setahun.

“Mulanya dia mengalami ruam selepas menerima suntikan di klinik kesihatan di sini. Apabila ruam itu hilang, timbul pula kudis di kepala dan lama-kelamaan kulitnya mula mengelupas, kering serta bersisik hingga dia menangis akibat pedih setiap kali dimandikan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Kampung Tandop Kedabu, Kuala Jerlun, di sini 
hari ini.

Selain buta sebelah mata, Tom turut mengalami masalah ken­cing manis mengakibatkan ke­semua jari di kaki kanannya dipotong.

Lebih mengharukan, Tom ber­kata, Jabatan Kebajikan Ma­syarakat (JKM) baru-baru ini menamatkan pemberian bantuan sejak November lalu.

“Keadaan itu menyukarkan kami kerana kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada pendapatan anak lelaki saya, Mazree Ahmad, 31, yang cuma bekerja sebagai kelindan lori. Isteri Mazree, Rozaini Zainol, 29, tidak bekerja kerana perlu menjaga dua anak­nya dan tiga cucu saya yang ditinggalkan ini menyebabkan kehidupan kami cukup susah.

“Ada kalanya kami terputus bekalan beras dan susu untuk anak-anak ini. Kedudukan rumah yang hampir dengan sungai turut menyebabkan kami sering kali berdepan masalah banjir,” katanya.

Mereka yang mahu menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) atas nama Tom yang bernombor 0213441000050189 atau menghubungi Rozaini 017-5808985.