Kejadian kira-kira pukul 10.40 malam itu berlaku ketika Awang Abu Bakar, 60, serta isterinya, Fatimah Husin, 63; anak mereka, Norbaitin Nadia Awang, 23, serta dua cucu, Nor Amara Darisya Mohd. Nizam, 2, dan Nor Aliya Batrisya Mohd Nizam, 6, dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Batu Jong dari bandar ini.

Keluarga tersebut singgah di stesen minyak itu untuk menge­pam tayar kenderaan sebelum Awang pergi ke tandas manakala Fatimah dan dua cucunya berada di dalam kereta.

Ketua Polis daerah, Superintenden Abdullah Roning berkata, semasa mengepam tayar, wanita berusia 23 tahun itu menyedari kereta itu berundur ke belakang dan bapanya sempat menarik suspek untuk menghentikan kenderaan namun ti­dak berjaya.

“Semasa kereta itu dilarikan, wanita itu melihat seorang suspek berada di dalam kereta dan sebuah lagi kereta Proton Wira berwarna biru mengekori kereta mangsa.

“Kereta tersebut dilarikan ke arah Machang dengan tiga mang­sa berada di dalamnya.

“Bagaimanapun ketiga-tiga mangsa itu telah ditinggalkan di tepi jalan di Bukit Bakar, Machang dekat sini selepas barangan berharga mereka diambil kira-kira pukul 12.30 te­ngah malam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Abdullah berkata, kereta yang dinaiki ketiga-tiga beranak tersebut ditemukan di tepi jalan selepas terbabas beberapa kilometer dari tempat mereka di­tinggalkan.

“Wanita warga emas yang dilarikan itu memberitahu dua suspek lelaki telah mengambil semua barangan di dalam kereta selain merampas barangan kemas yang dipakai.

“Suspek yang bertopeng serta memakai sarung tangan itu turut mengancam mangsa de­ngan mengacukan sebilah pisau di lehernya. Mangsa mengalami kerugian RM9,000 dan tiada sebarang kecederaan,” ujarnya.

Menurutnya, polis sedang giat mengesan dua lelaki itu yang menggunakan modus operandi melarikan kereta semasa mangsa mengepam tayar.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak cuai dan pastikan kereta berkunci setiap masa semasa melakukan urusan di stesen minyak. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana curi kenderaan,” jelasnya.