Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil Noor berkata, mereka boleh membuat rayuan menerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) dengan mengemukakan alasan munasabah untuk dipertimbangkan.

"Ini kerana hasil pemutihan, seramai 40,000 daripada 57,000 nelayan layak menerima bantuan sara hidup itu daripada kerajaan kerana menepati syarat.

"Jadi kita masih membuka ruang kepada mereka mengemukakan rayuan kepada PNK. Kemudian akan disemak dan disiasat pula LKIM kerana penolakan bantuan sara hidup sebelum ini ada kemungkinan disebabkan terlepas pandang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi LKIM Dengan Pemimpin Nelayan Peringkat Negeri Johor di Bandar Baru Kota Puteri, Masai, di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Josfa) negeri, Datuk Mohamad Dolmat dan Pengerusi LKIM negeri, Noslan Setat.

Beliau berkata, siasatan rapi akan dilakukan supaya mereka yang benar-benar layak tidak terlepas daripada menerima bantuan sara hidup kerajaan.

"Jika rayuan mereka bermerit dan mereka nelayan dari erti kata di bawah undang-undang serta turun ke laut 120 hari setahun, mereka layak menerima bantuan itu.

"Mereka perlu membuktikannya menerusi gambar dan pemeriksaan oleh LKIM membolehkan nama mereka layak penerima elaun," katanya.

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani melakukan proses dilancarkan sejak Mei tahun lalu untuk mengelak ketirisan, penyalahgunaan dan penipuan dalam kalangan nelayan. - UTUSAN ONLINE