Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil Noor berkata, mereka tidak perlu lagi terlalu bergantung hasil tangkapan laut yang tidak menentu ketika ini.


Jelas beliau, mereka boleh terlibat dalam industri akuakultur dan hiliran antaranya dengan menghasilkan makanan sejuk beku atau menghasilkan keropok lekor dan otak-otak.


“Insentif untuk usahawan pertanian disediakan dengan peruntukan RM20 juta dan setiap seorang boleh menerima bantuan antara RM10,000 hingga RM20,000.


“Mereka boleh menjadikan sumber makanan laut sebagai sumber pendapatan tambahan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Pengerusi LKIM Dengan Pemimpin Nelayan Peringkat Negeri Johor di Bandar Baru Kota Puteri, Masai, di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Josfa) negeri, Datuk Mohamad Dolmat dan Pengerusi LKIM negeri, Noslan Setat.


Semalam Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu golongan nelayan dan petani berubah meninggalkan cara hidup lama dengan mengamalkan pendekatan lebih moden bagi membolehkan mereka keluar daripada kepompong kemiskinan.


Menurut Mahathir, pendekatan tersebut perlu memandangkan sejak dahulu lagi golongan tersebut seringkali dikaitkan dengan status kemiskinan dan hidup menderita kerana terlalu banyak bergantung kepada bantuan kerajaan.


Sehubungan itu kata Perdana Menteri, sudah sampai masanya mereka berani bersaing dan sanggup mengubah cara hidup dengan menceburi bidang baharu seperti perniagaan dan industri berasaskan hasil produk tempatan yang ada di sekeliling mereka. - UTUSAN ONLINE