Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan menggunakan sumber peruntukan dalaman bernilai RM2 juta untuk memasang teknologi dari Jepun itu di Pusat Pengumpulan dan Pengedaran (CCDC) di sini.

“Penggunaan teknologi IQF dijangka lebih menjamin kualiti ikan sejuk beku yang dijadikan penimbal di CCDC yang dikendalikan Nekad dan segar seperti di pasaran.

“Teknologi IQF mampu menyejuk beku sebanyak 600 kilogram ikan dalam tempoh sejam berbanding empat jam sekiranya menggunakan sistem sejuk beku sebelum ini.

“Dengan adanya teknologi ini, stok penimbal hasil laut dapat ditingkatkan kerana CCDC di Kuala Kedah berkapasiti 650 tan metrik,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wa­nita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan nege­ri, Datuk Suraya Yaacob dan Pengerusi LKIM, Datuk Seri Dr. Irmohizam Ibrahim.

Menurut Ahmad Shabery, tek­nologi IQF yang dijangka siap pada Jun depan itu boleh digunakan mengumpul dan menyimpan hasil laut pada musim lambakan ikan pada September dan Oktober sebagai stok penimbal dan untuk dieksport.

Dalam perkemba­ngan lain, beliau menggesa persatuan nelayan di seluruh negara mening­katkan se­ku­­­­rang-kurangnya 50 peratus aktiviti ekonomi mereka berbanding urus niaga berjumlah RM2 bilion pada 2015.

“Secara keseluruhan, urus niaga dalam industri perikanan adalah sebanyak RM13 bilion namun urus niaga persatuan nelayan di seluruh negara hanya RM2 bilion. Perniagaan yang dikendalikan persatuan nelayan masih rendah.

“Pada saya, jumlah itu boleh dipertingkatkan lagi. Saya sasarkan persatuan nelayan sepatutnya perlu menguasai sekurang-kurangnya 50 peratus urus niaga dalam industri perikanan. Ini ke­rana, 75 peratus daripada 150,000 nelayan adalah ahli mereka.

“Saya akan berbincang dengan LKIM, Jabatan Perikanan dan Nekmat untuk melihat bagaimana kita dapat membaiki prestasi persa­tuan nelayan bagi membolehkan mereka mengusai industri perikanan pada masa depan,” ujarnya.