Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerajaan nege­ri melalui Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) menghantar bekalan itu dengan lori tangki air berkapasiti 5,678 liter yang berulang-alik mengangkutnya ke lokasi terjejas.

“Kita membantu apa yang terdaya. Sekarang kita menghantar empat lori tangki air yang berulang-alik sehingga tiga kali sehari untuk membantu beberapa kawasan di Selangor yang terputus bekalan air.

“Kita juga tumpang dukacita dengan masalah yang dialami rakyat Selangor di kawasan terjejas. Apa yang boleh bantu, kita akan bantu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air (LRA) Sawah Raja Fasa 2 di sini hari ini.

Yang turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Dr. Awaludin Said; Pengerusi Jawatan­kuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan negeri, Datuk Zaifulbahri Idris dan Pengerusi Pe­ngurusan Aset Air Berhad (PAAB), Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang terputus bekalan air sejak beberapa hari lalu dan dijangka berpanjangan selepas Sistem Mampatan Udara di LRA SSP3, Selangor pecah, Selasa lalu. Antara kawasan terjejas ialah Kuala Lumpur, Peta­ling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.

Mengulas mengenai LRA Sawah Raja Fasa 2, Mohamad berkata, loji berkapasiti 37.85 juta liter air itu dikhususkan kepada pengguna di daerah Rembau yang sebelum ini bergantung kepada bekalan dari LRA Gemencheh di Tampin.

Jelas beliau, kerajaan negeri dengan kerjasama PAAB pada 2015 memperuntukkan hampir RM63 juta bagi melaksanakan LRA tersebut dengan kos RM34 juta manakala pembinaan Kolam Imbangan di Bukit Sembilan di sini menelan belanja sebanyak RM29 juta.

“Alhamdulillah masalah ke­ku­rangan air di Rembau satu ketika dahulu kini dapat diselesaikan. Kita memerlukan keperluan air harian sebanyak 15 juta liter di daerah ini. Baki 22 juta liter lagi adalah simpanan untuk keperluan jangka panjang,” katanya.