MAHATHIR MOHAMAD
MAHATHIR MOHAMAD 

Perdana Menteri berkata, beliau mengambil perhatian serius tentang masalah tersebut justeru kajian semula perlu dilaksanakan berhubung manifesto PH itu.

Kata Pengerusi PH berkenaan, janji-janji manifesto tersebut dibuat kerana kepemimpinan gabungan itu tidak menjangka memperoleh kemenangan dalam PRU-14 pada 9 Mei lalu.

“Kita mendapati banyak masalah dan berpendapat sebahagian janji dalam manifesto menimbulkan masalah dan kalau laksanakan, mungkin kita akan alami kerugian amat besar.

“Sebab itu kita kena ada kajian atau beritahu kepada kerajaan PH untuk mengkaji semula janji-janji yang dibuat semasa kita percaya kita akan kalah tapi sekarang kita menang, jadi sekatan-sekatan itu kena pada kita,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Walau bagaimanapun dalam sidang akhbar yang berlangsung selama 13 minit itu, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu tidak memberitahu janji mana yang perlu dikaji semula sama ada 10 janji 100 hari atau keseluruhan janji dalam manifesto tersebut.

Dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Langkawi itu memberi­tahu, penyusutan nilai mata wang bukan hanya melibatkan Malaysia, tetapi semua negara berdepan situasi defisit yang sama.

Kata beliau, Argentina antara negara yang turut mengalami si­tuasi tersebut apabila mata wang negara itu menyusut sehingga 50 peratus.

“Semua mata wang defi­sit, Argentina 50 peratus.

“Penyusutan nilai mata wang ini berlaku kerana perang perdagangan antara Amerika dan China, selain prestasi ekonomi masing-masing,” katanya.

Ringgit dibuka tinggi berban­ding dolar AS hari ini ketika para pelabur mengharapkan pengumuman Indeks Harga Pengguna (IHP) yang lebih positif bagi Ogos.

Pada pukul 9 pagi hari ini, ringgit mengukuh kepada 4.1380/1420 berbanding dolar AS daripada 4.1430/1460 sewaktu ditutup semalam.