Bekas Perdana Menteri itu ketika bercakap kepada portal berita FMT berkata, sejajar dengan itu juga bermakna kuasa Kabinet telah dikembalikan.

“Mereka kembali kepada sistem kerajaan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” kata Najib.

Tun Daim Zainuddin mengetuai lima ahli CEP dalam sidang akhbarnya hari ini mengumumkan bahawa CEP sudah melengkapkan mandatnya dan laporan mengandungi cadangan oleh majlis berkenaan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed, sekembalinya beliau dari China. 


Selain Daim, CEP turut dianggotai oleh bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS, Tan Sri Hassan Marican; Ahli Perniagaan, Robert Kuok dan Pakar Ekonomi, Dr Jomo Kwame Sundaram.


Najib berkata, ahli majlis berkenaan bukan dipilih oleh rakyat dan mereka tidak mengangkat sumpah melindungi rahsia kerajaan sebagaimana yang dilakukan oleh anggota Kabinet yang lain.


Dalam pada itu Daim dalam sidang akhbar dilaporkan BERNAMA berkata, kerajaan dan rakyat harus bersedia untuk membuat dan menerima keputusan yang sukar bagi manfaat negara pada jangka panjang.


Katanya, tiada penyelesaian pantas terhadap masalah yang dikenal pasti oleh CEP dan banyak cabaran menunggu di hadapan.


Tiga elemen utama membentuk cadangan oleh majlis berkenaan dan ia berkisar di sekitar keperluan untuk memperbaiki tadbir urus, kesejahteraan rakyat dan keperluan untuk memastikan ekonomi adalah inklusif dan mampan, kata Daim.


CEP ditubuhkan oleh Perdana Menteri pada 12 Mei dengan objektif memberikan Dr Mahathir nasihat terhadap perkara membabitkan sosio-ekonomi dan kewangan.

Daim berkata, bahagian pertama cadangan majlis berkenaan adalah dalam soal isu tadbir urus dan pembaharuan institusi yang mana melihat kepada bidang pembaharuan parlimen, lantikan kehakiman, tumpuan kuasa eksekutif, pemansuhan undang-undang yang menindas, pembaharuan agensi kerajaan, undang-undang hak asasi manusia selain komunikasi dan media.


"Cadangan itu termasuk langkah untuk memperkukuhkan kebebasan institusi teras Malaysia dan meningkatkan rangka kerja tadbir urus masing-masing dengan objektif untuk mengkhiri era korupsi yang meluas dan salah guna kuasa yang melanda negara," kata Daim


Tambahnya, walaupun majlis berkenaan menyedari kelemahan terhadap suasana kewangan dan tahap tadbir urus yang rendah dalam kerajaan dan agensi kerajaan, ia tidak menjangkakan magnitudnya dan teruknya masalah ini adalah "seserius itu".


"Tiada dalam kalangan kami yang menyangka ia adalah berleluasa dan sistematik," tambahnya.


CEP juga melihat kaedah untuk menangani masalah kemiskinan pelbagai dimensi dan ketidakseimbangan dalam masyarakat dan cara untuk memperbaiki program dan dasar yang penting dalam memastikan kesejahteraan rakyat.


Antara cadangannya adalah, memberi fokus kepada isu berkaitan kemiskinan, ketidaksamaan dan langkah untuk mengurangkan kos sara hidup seperti kemampuan memiliki rumah, subsidi bahan api, perlindungan sosial, bekas Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan tol.


Daim berkata, berdasarkan kajian majlis berkenaan, penekanan semasa terhadap pemberian tunai tidak menggalakkan peningkatkan sosial dan mobiliti ekonomi.


"Bantuan tunai yang disediakan adalah relatif besar berbanding inisiatif peningkatan pencegahan dan kemahiran. Di samping itu, ia cenderung untuk mewujudkan budaya yang bergantung kepada bantuan, terutama dalam kalangan orang muda dan orang bujang," katanya.

Cadangan itu turut melihat kepada Agenda Bumiputera, yang mana katanya, tidak boleh dilihat secara berasingan kerana ia adalah sebahagian daripada agenda nasional. Ia tidak bercanggah dengan agenda nasional berhubung keterangkuman dan kesejahteraan ekonomi semua rakyat Malaysia.


"Sebarang program yang dicadangkan dan dibangunkan seharusnya tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi atau dengan mengorbankan kumpulan sosial yang lain. Kami mahu pastikan ia tepat kali ini," kata Daim

Satu daripada cadangan utama oleh CEP adalah bagaimana untuk membangunkan ekonomi yang inklusif dan mampan turut merangkumi pembangunan rangka kerja baharu untuk insentif pelaburan dengan matlamat bagi membalikkan penurunan struktur ekonomi. 


"Ini memerlukan penggantian insentif sedia ada yang tidak relevan dengan yang baharu yang mana ia berasaskan hasil dan menggalakkan pertumbuhan mampan dan inklusif," kata Daim.


Majlis berkenaan juga melihat kepada perkara membabitkan pengurusan fiskal negara, dengan tumpuan kepada pentingnya dasar fiskal yang bertanggungjawab, berkesan dan mampan.


Pembaharuan fiskal bermatlamat mengukuhkan disiplin fiskal dan akauntabiliti, terutama dalam pengurusan hutang.


Laporan itu mencadangkan kaedah meningkatkan perolehan selain mereka bentuk semula dasar cukai bagi memastikan ia adalah progresif, adil dan seimbang.


Ia juga melihat akan kaedah mengoptimakan perbelanjaan dengan penekanan kepada keberkesanan dan mengurangkan ketirisan.


Daim berkata, dalam tempoh 100 hari, majlis berkenaan mengadakan pertemuan dengan lebih 350 individu dari lebih 200 pertubuhan, merangkumi agensi penguakuasaan undang-undang, ahli perbankan, persatuan perdagangan, dewan perdagangan, perbadanan, perusahaan kecil dan sederhana, pengguna, pengeluar, peruncit, kontraktor, pemandu teksi, peniaga, aktivis pertanian, artis, pertubuhan bukan kerajaan, komuniti kurang upaya dan pihak berkepentingan lain.


Tambahnya, selepas pelantikan anggota penuh kabinet, CEP turut membantu dalam soal perundingan dengan kementerian berkaitan bagi memperoleh input dan maklum balas, di mana perlu. - UTUSAN ONLINE