Bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, keadaan itu berdasarkan keadaan ekonomi negara semasa menyebabkan ramai rakyat hilang pekerjaan; kos sara hidup meningkat; banyak kedai dan syarikat ditutup serta nilai matawang jatuh ke paras terendah.

Katanya, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu mengambil langkah drastik menangani masalah itu supaya tidak berlarutan.

“Pakar ekonomi juga menyatakan negara bakal menghadapi inflasi dan rakyat turut merasainya.

“Inflasi ini maknanya buat apa pun tidak akan bertumbuh, keadaan ekonomi tak akan bertumbuh. Macam negara Jepun, mereka mengalami inflasi berbelas-belas tahun.

“Jepun negara kaya tak apalah, tetapi kita tak boleh. Nak mendapatkan pengalaman dan mengalami keadaan seperti negara itu, jadi saya bimbang keselamatan juga tergugat,” katanya kepada pemberita selepas prapelancaran Festival Galas 2019 di Dataran Kesedar Putra, Bandar Baru, Gua Musang, malam tadi.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim; ADUN Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff dan ADUN Paloh, Amran Arifin.

Tengku Razaleigh Hamzah juga Ahli Parlimen Gua Musang menyuarakan rasa kurang senang hati dengan bebanan hidup rakyat akibat kos sara hidup tinggi.

Beliau mahu kerajaan PH mengambil pendekatan serius sepenuh masa membaiki kehidupan rakyat dan tidak terus mencetuskan polemik yang menakutkan.

Tambahnya, rakyat sudah mula tunjuk kekecewaan mereka kerana janji-janji tidak ditunaikan dan seolah-olah diperlekehkan kerajaan sekarang.

“Rakyat susah kerana kos sara hidup semakin tinggi berikutan harga barang naik, pendapatan kurang, barangan import dan barangan buatan dalam negara juga naik harga.

“Walaupun dihapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST), namun mereka masih menangung bebanan kehidupan kerana kenaikan harga barang keperluan,” katanya. - UTUSAN ONLINE