Pengacara program MeleTop itu berjaya menjadi artis Malaysia pa­ling banyak pengikut dengan jumlah 4.9 juta sekali gus mengatasi pelakon Nora Danish yang selama ini memegang rekod tersebut.

Neelofa, 28, berkata, dia mahu menjadikan media sosial sebagai satu platform bagi memberi le­bih banyak motivasi dan inspirasi kepada masyarakat di luar sana khususnya golongan belia.

“Saya sedar akan tanggungjawab untuk mendidik anak bangsa yang perlu diberi ke­utamaan. Impak media sosial ini sangat besar. Saya mahu membantu memberi motivasi bagi melahirkan insan yang proaktif dan lebih dinamik.

“Setiap gambar dan kapsyen saya akan memberi impak. Jadi, saya perlu lebih berhati-hati dan memberi aura positif kepada pengikut yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Neelofa juga tidak menganggap media sosial sebagai satu medan perban­dingan jumlah koleksi pengikut sebaliknya satu plat­form untuk mendekatkan diri kepada peminat.

“Semestinya saya gembira tetapi media sosial bukan satu pertandingan siapa paling ba­nyak pengikut. Kita harus sedar tanggungjawab seseorang selebriti dalam media sosial.

“Media sosial juga merupakan medan untuk seseorang artis lebih dekat de­ngan peminat. Interaksi bersama peminat juga penting untuk kita menjaga kelangsu­ngan kerjaya,” katanya.

Dalam pada itu, Instagram Neelofa juga dihujani dengan ucapan tahniah daripada peminat yang gembira dengan kejayaan tersebut.

Neelofa