Menurut Timbalan Ketua Setiausaha (Tenaga dan Tenaga Hijau), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Noor Afifah Abdul Razak, setakat ini sebanyak 1.35 peratus penurunan penggunaan tenaga telah berjaya dicapai dengan penjimatan sebanyak RM646 juta.

Beliau berkata, NEEAP bermula dari tahun 2016 hingga 2025, menyasarkan penjimatan tenaga sebanyak lapan peratus pada tahun 2025.

Pelan tindakan itu memberi fokus kepada lima inisiatif utama iaitu promosi peralatan elektrik yang mempunyai label cekap tenaga lima bintang, audit tenaga dan pengurusan tenaga di sektor bangunan industri, promosi co-generation dan bangunan cekap tenaga.

“Bagi mengukuhkan kerangka perundangan untuk menggalakkan kecekapan tenaga pula, kementerian sedang dalam proses menggubal undang-undang bagi mewajibkan penggunaan tenaga dengan cekap supaya dapat membantu negara mengurangkan permintaan tenaga pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Cabaran Kecekapan Tenaga (EEC) 2018 anjuran Suruhanjaya Tenaga (ST) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi ST, Datuk Ir. Ahmad Fauzi Hasan.

Noor Afifah berkata, bagi menunjukkan komitmen kerajaan contohnya, program kecekapan tenaga telah dilaksanakan di 25 buah bangunan kerajaan sendiri.

“Melalui pelaksanaan inisia­tif ini, penggunaan tenaga di semua kementerian termasuk di Jabatan Perdana Menteri, telah menunjukkan penurunan sebanyak 17.9 peratus berban­ding tahun 2013 atau bersamaan de­ngan penjimatan bil elektrik sebanyak RM17.4 juta pada tahun 2017. Ini juga bersamaan dengan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 33.1 kilotan karbon dioksida,” katanya.