Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi  berkata, walaupun sesetengah pihak memandang sinis terhadap transformasi yang berlaku, namun program berkenaan telah membuahkan hasil yang amat baik.

Menurutnya, pakar  pembangunan luar turut melihat  kejayaan yang dicapai Malaysia itu secara objektif melalui kajian-kajian empirikal yang dilakukan.

"Ini kerana kita sering pandang diri kita ke dalam kotak dan tidak melihat sama ada dari luar atau tanpa kotak.  

"Malah ada dalam kalangan kita yang sentiasa pandang setiap transformasi itu pada pandangan sinis. Mereka ini mempunyai persepsi yang negatif dan mereka sering meremehkan transformasi  dan pembaharuan yang dibuat," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Fiesta NBOS Sayang Malaysia di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hutan Melintang dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Tan Sri Noh Omar; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim ; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa. - UTUSAN ONLINE