Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) membolehkan kerajaan mengoptimumkan perbelanjaan yang memberi manfaat kepada rakyat dengan cara paling cekap dan kos efektif.

Perdana Menteri berkata, pelaksanaan program berkenaan sejak empat tahun lalu bukan bermakna kerajaan tiada duit seperti yang dicanangkan pembangkang untuk mengelirukan rakyat.

Sebaliknya, kata beliau, kerajaan menggunakan duit berkenaan untuk memberi keberhasilan yang lebih baik.

“Pembangkang membuat pelbagai tohmahan tidak berasas hendak tipu dan mengelirukan rakyat.

“Kita hendak memberitahu rakyat bahawa kerajaan buat ini (NBOS) untuk rakyat. Ini bukan bererti kerajaan tiada duit, tak. Ini beerti kita ada duit.

“Tetapi kita menggunakan duit itu untuk memberi keberhasilan lebih baik dan mengoptimumkan perbelanjaan kita,” katanya ketika berucap merasmikan Fiesta NBOS Bersama Rakyat di Kampung Baru Salong di sini hari ini.

Yang turut hadir Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Zainal Rahim Seman; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Serigar Abdullah dan Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin.

Program tersebut antara lain bertujuan memperkenalkan idea-idea NBOS yang dilaksanakan kerajaan kepada masyarakat setempat selain memberi ruang kepada orang ra­mai mendekati pemimpin.

NBOS adalah berdasarkan kepada prinsip-prinsip yang berimpak tinggi, kos rendah dan pelaksanaan yang pantas, bagi membolehkan penyampaian projek-projek penting dengan segera yang memberi manfaat kepada rakyat.

NBOS memupuk kerjasama yang lebih erat dan penyelarasan antara agensi kerajaan dan meningkatkan penyertaan pelbagai pihak yang berkepentingan, termasuk sektor swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO). - UTUSAN ONLINE