NAZIRUL NAIM CHE HASHIM dan Nor Wahila Ali Tarmizi dalam majlis perkahwinan mereka di Dewan Jubli Perak, Kuala Kangsar, semalam.

Menurut Nazirul Naim, dia berkenalan dengan Nor Wahila menerusi abangnya yang merupakan seorang jurugambar di Kuala Kangsar ketika gadis tersebut menjadi model sambilan.

Katanya, tidak lama selepas berkenalan, mereka sepakat untuk bertunang pada April lalu.

“Segala persiapan perkahwinan saya banyak dibantu oleh ahli keluarga saya. Sekarang saya boleh lebih fokus dengan kerjaya di atas padang dan kini lebih bersemangat,” katanya ketika ditemui dalam majlis perkahwinannya di Dewan Jubli Perak, di sini hari ini.

Nor Wahila, 25, yang bertugas di Pulau Pinang berkata, mereka bercinta tidak terlalu lama dan bersyukur kerana majlis persandingan hari ini berjalan lancar.

“Secara kebetulan kakak sulung saya juga berkahwin dengan pemain bola sepak iaitu bekas penjaga gol pasukan Pulau Pinang,” katanya.

Pasangan itu melangsungkan pernikahan di Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 2, Manjoi, Ipoh pada Jumaat lalu.