Kapten Kapal, Mohd. Firdaus Faisal Mohamad, 42, berkata, kapal berkenaan kini berada di 60 batu nautika dari Pulau Langkawi dan jika cuaca baik, misi bantuan kemanusian itu dijangka tiba di Yangon, Myanmar pada 8 Februari ini.

"Kita harapkan semua urusan dipermudahkan sepertimana yang dirancang," katanya kepada pemberita yang mengikuti misi itu, hari ini.

Beliau berkata, kapal berkenaan kini bergerak pada kelajuan 9 batu nautika iaitu 17 kilometer sejam bergantung kepada keadaan laut.

Sementara itu, ketua misi, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sebanyak 300 tan beras serta 10,000 kotak "hygiene kit" mengandungi barangan keperluan kebersihan diri akan diserahkan di Pelabuhan Yangon.

"Kita juga akan serahkan 50,000 paket mi segera dan 12,000 botol air mineral. Kami tidak mahu buang masa kerana selepas itu baki bekalan akan dibawa ke Teknaf, Bangladesh," katanya.

Kapal berkenaan yang memulakan pelayaran semalam selepas mengalami masalah teknikal, dijangka belayar selama 18 hari melalui Laut Andaman untuk sampai ke Yangon serta kem pelarian di Bangladesh.

Pelepasan kapal bagi misi 'Food Flotilla for Myanmar' anjuran Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Jumaat lepas.

Ia disertai kira-kira 195 sukarelawan daripada 12 negara melibatkan pasukan perubatan, tenaga pengajar, pengamal media tempatan dan antarabangsa, serta wakil-wakil NGO tempatan dan luar negara.

Misi itu antara lain membawa 2,300 tan metrik makanan, keperluan perubatan, keperluan harian, pakaian dan selimut. - BERNAMA